PERSATUAN suku kaum Cina di sini mempunyai peranan penting membantu dan memudahkan integrasi pendatang baru ke dalam pangkuan masyarakat Singapura, kata Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong.
Berucap dalam sambutan Tahun Baru Cina anjuran Persekutuan Persatuan Suku Cina Singapura (SFCCA) semalam, Encik Lee berkata persatuan suku kaum boleh membantu dalam isu-isu integrasi seperti menangani ketegangan sosial dan meleraikan perbezaan antara penduduk setempat dan pendatang baru.
"Usaha-usaha sedemikian penting terutama bagi masyarakat Singapura yang bukan saja berbilang bangsa dan agama bahkan budaya," ujar Encik Lee dalam acara di auditorium persekutuan itu di Toa Payoh.
SFCCA dibentuk pada 1986 bagi mempromosi dan menghargai bahasa, budaya dan nilai-nilai Cina, memimpin persatuan suku kaum Cina serta menganjurkan pelbagai kegiatan pendidikan dan budaya.
Encik Lee berkata Singapura telah banyak berubah sejak 40 tahun lalu tetapi persatuan suku kaum telah berjaya menyesuaikan diri, dengan memainkan peranan baru selain menggerakkan arah tuju bagi persatuan masing-masing.
Beliau mengajak orang ramai melahirkan sokongan, dan berkata tugas yang dijalankan persatuan suku kaum Cina akan menyumbang kepada pembangunan stabil dan jangka panjang di sini.
Dalam ucapannya, Encik Lee turut menyentuh mengenai Tahun Naga dan berharap warga Singapura melahirkan lebih ramai anak tahun ini.
Dalam amanat Tahun Baru Cinanya minggu lalu, Encik Lee mendedahkan kadar kesuburan penuh (TFR) Singapura naik sedikit tahun lalu kepada 1.2, daripada angka terendah 1.15 pada 2010.
Sementara itu, dalam ucapannya pula, presiden SFCCA, Encik Chuan Thian Poh, berkata pembentukan Dana Dwibahasa Lee Kuan Yew bagi menggalak pelajar, terutama di peringkat prasekolah, menguasai bahasa ibunda dan bahasa Inggeris amat tepat.
SFCCA dan Business China komited memupuk lebih banyak bakat yang dwibahasa dan dwibudaya dengan mencipta sekitaran kondusif bagi pembelajaran, kata beliau.
SFCCA tahun lalu menawarkan biasiswa kepada lima pelajar dwibudaya cemerlang bagi melanjutkan pelajaran di universiti terkemuka di China.
Tahun ini, sempena ulang tahun kelima Business China, lebih 40 program telah diatur bagi menarik individu berminat mengenai China dan budaya Cina bagi memupuk lebih ramai warga Singapura yang "bijak- China".
Courtesy of Berita Harian, 26 January 2012.